web 2.0

2010-03-26

Sekitar Promosi Pentas di Pesta Buku Antarabangsa KL


bersama peminat dari KTI (saudari Wani)

Di pentas PWTC

Sempat menyambut hari lahir abang Syahril dari Inteam pada 25 Mac

Inteam di booth mereka D01, pesta buku 2010

Inteam Publishing mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang terlibat dalam acara pentas ini dari kumpulan Inteam, Unique, Suhaimi saad, dari kalangan staf IPSB, semua tetamu yang hadir memeriahkan, dan khususnya semua tenaga kerja KTI (Komuniti Teman Inteam) yang sangat komited menyokong dan membantu kami...

2010-03-24

Buku: Antara Berat dan Ringan - Artikel dari Saifulislam.com

Buku: Antara Berat dan Ringan

Mesej ini disampaikan semasa PERTAMA berlangsung di Jordan baru-baru ini

“Saya sangat berminat membaca buku-buku sejarah tentang kepahlawanan tokoh Islam dan kejayaan-kejayaan silam. Apa saranan ustaz tentang hal ini?” tanya seorang rakan.

Beliau baru sahaja memulakan langkah kembara ilmunya di Dataran Syam.

Email yang beliau hantar sejurus sebelum saya berlepas ke Jordan untuk menghadiri PERTAMA Kali ke-4 di Universiti Mu’tah, membawa mesej yang bercampur baur. Semacam ada kesinambungan daripada pertemuan terakhir kami sebelum beliau berangkat ke Jordan, antara rasa bersemangat membaca bahan berkualiti yang semakin banyak di pasaran tempatan, dengan rasa jemu terhadap bahan bacaan yang ditemui di medan pengajiannya.

“Insya Allah apabila ustaz sampai di Jordan nanti, kita sambung bicara tentang hal ini” saya berjanji kepadanya.

Tidak enak berbual tentang hal ini menerusi email. Apatah lagi pada mengenangkan peluang yang bakal membolehkan topik penting ini dibicarakan secara langsung.

PERKEMBANGAN BUKU

Tidak dinafikan, Malaysia sedang rancak menyaksikan kebangkitan buku-buku berbahasa Melayu termasuk buku agama yang begitu hebat. Kedai-kedai buku seperti Popular Bookstore yang dahulunya amat sukar untuk membuka ruang bagi buku berbahasa Malaysia, akhirnya terpaksa menyediakan ruang untuk buku-buku berkenaan meliputi buku agama dan pembangunan diri kerana tumpuan pasaran berada di situ. Perkembangan ini amat positif. Malah rekaan buku dan pendekatan yang semakin ergonomik, sangat membantu memecahkan taboo masyarakat tentang buku agama.

Kulit hitam, tulisan emas… sungguh bergaya buku tersebut hingga ‘menakutkan’ sesetengah pembaca yang lemah semangat untuk mendekatinya.

Kini buku agama berwarna warni, malah bahasanya juga santai.

“Kita mahu buku yang memandaikan bangsa. Kita tidak mahu buku yang merosakkan bangsa, juga buku yang penulisnya syok sendiri!” antara ungkapan yang sering diulang oleh Puan Ainon Mohd, Sifu PTS.

Beliau sangat menekankan kepada keperluan mempermudahkan cara penyampaian mesej sebuah buku melalui pendekatan bahasa yang dekat dengan kemampuan masyarakat.

“Tulislah buku untuk orang-orang yang bodoh agama seperti saya!” katanya lagi.

Walaupun agak keras bunyinya, tetapi ia merupakan penanda aras yang penting agar penulis jangan seronok ber’arakian’ hingga menulis seolah-olah untuk dirinya sendiri dan bukan untuk pembaca.

“Buat apa mahu diberat-beratkan bahasa. Usahkan ‘ajam, malah yang Arab juga belum tentu faham kalau membaca buku yang bahasanya tinggi” kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi di Jordan.

Beliau terkenal sebagai salah seorang ilmuan yang prolifik dalam menghasilkan buku, yang keunikannya adalah pada bahasa yang ringkas dan mudah difahami.

Usaha menghasilkan buku yang mudah untuk dibaca merupakan trend semasa. Sedikit sebanyak ia mungkin berpunca daripada berkembangannya tabiat membaca ‘ikut dan’ dan bukan lagi dalam sesi formal, di atas meja, di rumah, di bawah sinaran lampu minyak tanah. Buku dibaca semasa menunggu bas dan komuter, buku dibaca semasa mendodoikan anak, buku dibaca semasa berehat setengah jam untuk minum petang, malah buku dibaca secara sembunyi-sembunyi apabila penceramah kursus merepek-repek dalam slot kendaliannya. Justeru buku perlu mudah dibaca bersesuaian dengan keadaan seperti itu.

MINYAK MENTAH VS RON95

“Anta nampak apa beza di antara jurutera carigali minyak dengan pengguna Ron 95 di stesyen minyak?” saya cuba beranalogi.

Beliau tersenyum. Cepat menangkap maksud saya.

“Keghairahan mereka berbeza. Seorang jurutera carigali minyak semangat dan fokusnya tertumpu kepada mengenal pasti minyak mentah terbaik. Antara telaga di sini dan sana, minyak mentah itu apa perbezaannya, berapa kandungan karbon di dalamnya, dan apakah teknologi canggih terkini untuk memproses. Itu fikiran beliau sebagai pakar. Ada pun end user, tumpuan beliau ialah pada mencari minyak petrol terbaik untuk digunakan sesuai dengan kenderaan yang dipandunya. Soal minyak mentah, gas asli dan lain-lain, jika berminat sekali pun, kemampuannya terhad untuk mengambil tahu” saya mengulas.

“Mudah sahaja tertipu andaikata ada pihak yang mencanangkan bahawa minyak A lebih baik daripada minyak B!” tambah beliau.

“Kerana beliau hanya pengguna, bukan pengusaha!” saya berusaha membuat kesimpulan.

BERAT VS RINGAN

Persoalan berbaki, adakah mahasiswa yang merupakan bakal sarjana, apatah lagi yang bakal menyambung perjuangan menghasilkan materi agamawan, mereka itu pengusaha atau pengguna?

Hal ini terdetik di fikiran saya apabila saya kaget melihat pelajar Syariah yang belajar di negara Arab membeli buku Biografi Muhammad karangan Prof. Dr. Zuklifli Mohd. Yusoff dan isteri. Tidak salah membaca buku itu, namun pelajar Syariah menggalas tanggungjawab membaca buku tulisan Prof. Zulkifli dan buku-buku yang dibaca oleh Prof. Zulkifli hingga membolehkan naskhah Biografi Muhammad itu boleh dihasilkan. Pelajar Syariah harus memulakan kembara dirinya pada membina kemampuan membaca Sirah Ibnu Hisham, Zaad al-Ma’aad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Sayyid al-Naas, sebelum kemudiannya meluaskan horizon membaca buku sekunder seperti Fiqh al-Sirah oleh Sheikh al-Buti dan Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, juga Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibrahim al-’Ali malah Nurul Yaqeen oleh Sheikh Muhammad Al-Khudori dan al-Sirah al-Nabawiyyah: Durusun wa ‘Ibar oleh Sheikh Mustafa al-Siba’ie.

Itulah buku-buku yang mesti dikunyah dan dihadam oleh seorang yang bercita-cita kemudiannya mahu menghasilkan sebuah novel berteraskan Sirah, atau ringkasan Sirah dan lain-lain produk ilmu buat kegunaan masyarakat.

Buku-buku yang ringan di pasaran pada hari ini adalah hasil bakat kebijaksanaan penulisnya meringkaskan persembahan untuk memudahkan seramai mungkin pembaca memanfaatkan ilmu tersebut. Namun di sebalik buku yang dihasilkan, penulis mestilah mempunyai tasawwur yang lengkap tentang selok belok topik yang diketengahkan.

Justeru pelajar-pelajar Syariah mestilah menyabarkan diri dalam menelaah ‘bahan-bahan mentah’ berupa buku primer atau yang disebut di dalam Bahasa Arab sebagai MASADIR. Buku yang hambar, tanpa gambarajah, kurang perenggan, penuh dengan teks dan tebal berinci-inci itu adalah ibu buku, seperti Ratu Lebah sebelum lebah pekerja dan madu yang didambakan pengguna.

Buku ringan mestilah ditulis oleh pembaca buku berat. Apabila buku ringan ditulis oleh pembaca buku ringan, yang ringan-ringan itu akhirnya menjadi SAMPAH!


Artikel dipetik dari:

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

2010-03-21

PENGUNJUNG DAN PETUGAS GERAI INTEAM PUBLISHING

Persiapan sehari sebelum Pesta Buku Antarabangsa

Alhamdulillah, Pesta Buku Antarabangsa telah pun berlangsung sejak Jumaat yang lalu...
Gerai Inteam Publishing dan Inteam Records dimeriahkan oleh pengunjung-pengunjung yang tak putus-putus mahu mendapatkan produk-produk terkini terbitan Inteam Publishing dan Inteam Records.
Persiapan di gerai Inteam Publishing


Persiapan di gerai Inteam Publishing



Antara Produk Al-Quran yang mendapat sambutan


Produk buku-buku terbitan IPSB

Antara produk terlaris setakat ini ialah buku Mari Berdoa yang mana pada hari Khamis, sebelum pesta buku berlangsung, sedang kami bersiap-siap menghias dan menyusun gerai, ada juga yang datang membeli buku Mari Berdoa dan beberapa produk lain... Sehinggakan 5 keping buku Mari Berdo telah terjual pada hari persiapan tersebut... Alhamdulillah...

Menurut pemerhatian kami, buku bercorak education untuk anak-anak sangat mudah menarik perhatian ibu bapa untuk mendapatkannya. Selain itu, buku dan produk audio amalan harian tetap menjadi antara produk bestseller...

Pengunjung mula memenuhi gerai Inteam Publishing



Pengunjung mula memenuhi gerai Inteam Publishing
Terima kasih yang tak terhingga kepada semua petugas-petugas di gerai Inteam Publishing, dan istimewa buat si baju hitam oren; iaitu ahli-ahli Komuniti Teman Inteam yang lengkap dengan Uniform baru mereka yang sentiasa komited mempromosikan gerai Inteam Publishing...
Terima kasih atas sokongan anda semua!!!

Kepada yang belum berkesempatan datang, jemput datang ke gerai kami di D-01, ruang legar putra, PWTC - Ground Floor... Masih ada peluang berkongsi kemeriahan bersama dengan kami di Pesta Buku Antarabangsa sehingga 28 Mac ini...

Warga KTI (Komuniti Teman Inteam) bergaya dengan uniform rasmi mereka


Antara warga KTI yang membantu

Qayyum dan Hafizi


Safarizan a.k.a mmsafa Designer Inteam Publishing, juga orang kuat KTI

Warga KTI mempromosi booth Inteam Publishing, Terima kasih...

2010-03-16

Mari Berdoa




Mari Berdoa merupakan sebuah buku yang menghimpunkan doa-doa harian beserta terjemahan lengkap dengan ilustrasi yang menarik den penuh warna-warni.
Buku ini sangat sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan boleh membantu mereka dalam menghafal doa-doa harian ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.

Mari Berdoa turut disertakan dengan CD audio alunan doa-doa harian ini dalam bentuk lagu nasyid yang sangat menghiburkan dendangan Nordin Jaafar (Raihan & Alarmme) serta adik Faris (Adikku Sayang).

Mari Berdoa dari siri Baca, Dengar dan Amal ini memang patut dimiliki kanak-kanak Islam dalam menggalakkan mereka menghafal dan mengamalkan doa-doa harian.

Al-Ma'thurat




Al-Ma'thurat merupakan himpunan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w. yang terpilih untuk diamalkan pada setiap pagi dan petang. Ia disusun oleh al-Imam Asy-syahid Hasan Al-Banna sebagai salah satu jalan untuk mendidik hati menuju ketenangan jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Kitab Al-Ma'thurat ini turut disertakan sekali dengan CD bonus bacaan Al-Ma'thurat oleh Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Asri Bin Ibrahim.

Surah Amalan Ibu Mengandung



Buku Surah Amalan Ibu Mengandung menghimpunkan surah-surah yang sesuai untuk diamalkan oleh ibu-ibu yang sedang mengandung. Membaca Al-Quran sepanjang tempoh kehamilan sangat baik untuk perkembangan minda bayi bagi menjadi seorang insan yang beriman dan bertaqwa.

Terdapat beberapa surah yang digalakkan oleh para ulama akan kesesuaiannya untuk menjadi amalan oleh para ibu mengandung seperti surah Maryam, Surah Yusuf dan Surah Luqman.

Surah-surah ini termasuk surah Al-Fatihah dimuatkan dalam buku ini beserta terjemahannya sekali untuk panduan semua.

Buku ini turut disertakan dengan CD bonus bacaan surah-surah tersebut oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamed Khairul Anuar Al-Hafiz.

SURAH HAFAZAN



Buku Surah Hafazan menghimpunkan surah-surah yang biasa menjadi hafazan pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat umumnya beserta terjemahan. Surah-surah tersebut adalah Surah As-Sajadah, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Waqiah, Al-Soff, Al-Jumuah dan Al-Insan.

Kitab ini turut disertakan bonus CD audio bacaan surah-surah tersebut oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamed Khairul Anuar Al-Hafiz.

YASIN, TAHLIL DAN DOA



Buku Yasin, Tahlil dan Doa adalah sebuah kitab amalan yang memuatkan surah Yasin dan terjemahan serta, Tahlil dan doa-doa yang berkaitan juga beserta terjemahan.

Buku ini turut disertakan bersama CD bacaan Yasin dan Tahlil oleh Ustaz Taha Bin Tan Sri Hj. Hassan Azhari.

Buku ini merupakan terbitan pertama Inteam Publishing di bawah siri BACA,DENGAR dan AMAL.

2010-03-09

Temui kami di Pesta Buku Antarabangsa 2010...

Tahun 2010 merupakan tahun kedua kami menyertai Karnival Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di PWTC. Penyertaan kami membuka gerai pada tahun lalu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Tahun ini kami akan menyewa gerai bernombor D-01 Ruang Legar Putra, Ground Floor di pintu masuk utama sebelah bawah.

Jemputlah beramai-ramai memeriahkan gerai Inteam Publishing sambil membeli-belah dengan potongan harga yang istimewa!!!

Selamat membaca, mendengar dan beramal...

Logo Siri Baca Dengar Amal

Assalamualaikum wrh wbt.

Sejarah penerbitan buku oleh syarikat Inteam Records Sdn Bhd bermula pada tahun 2006 dengan terbitnya 3 buah buku dibawah kategori INSPIRASI iaitu: Bangkit Dari Gagal,
77 Emas Warisan dan Kaya Sebelum Miskin.

Kemudian, Inteam Records berehat seketika daripada aktiviti penerbitan buku bagi mengatur strategi untuk menghasilkan produk-produk bacaan yang lebih unik dan bermutu.

Bermula tahun 2009, Inteam Records kembali mengatur langkah melalui anak syarikatnya Inteam Publishing Sdn Bhd bagi menyambung kerja-kerja penerbitan buku secara lebih agresif dan produktif. Setelah melalui beberapa sesi kajian dan tinjauan, kru penerbitan Inteam Publishing telah bersepakat untuk menerbitkan buku-buku melalui siri atau edisi BACA, DENGAR dan AMAL yang menggabungkan buku-buku amalan harian dan CD audio bacaan amalan-amalan tersebut oleh Ustaz-ustaz dan tokoh berkelayakan.

Siri BACA, DENGAR dan AMAL ini mengajak pembaca membaca buku, lalu mendengar cara bacaan yang betul oleh ustaz-ustaz yang menyampaikan bacaannya melalui CD audio dan terus mengamalkannya dalam kehidupan seharian.



Antara buku yang telah diterbitkan dalam siri ini ialah ;

1. Yasin, Tahlil dan Doa
2. Surah Hafazan
3. Amalan Ibu Mengandung
4. Zikir dan Doa Selepas Solat
5. Al-Ma'thurat
6. Ayat-Ayat Ruqyah
7. Mari Berdoa
8. Bijak Tajwid
dan banyak lagi tajuk yang masih sedang dalam pembikinan...

Dapatkan buku-buku ini di pasaran dan selamat memBACA, menDENGAR dan berAMAL!!!


Beli buku-buku ini secara online di www.inteammobile.com/shop