web 2.0

2013-03-05

AMALAN SIMPLE TAPI POWER -ISTIGHFAR


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَدْرٍ ، ثنا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ ، عَنِ الْحَكَمِ بْنِ مُصْعَبٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ :  مَنْ أَكْثَرَ مِنَ الاسْتِغْفَارِ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memperbanyakkan beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap dukacita itu ada kelegaan dan pada setiap kesempitan ada jalan keluarnya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”[1]

Inilah kisah insan yang meyakini amalan ‘simple tetapi power’. Amalan yang disarankan di dalam al-Quran yang sedikit dipandang manusia. Inilah insan yang kenal Penciptanya yang berkuasa atas setiap sesuatu.

Beramal dan yakin dengan kekuasaan Allah telah dikisahkan dalam satu riwayat seorang ulama cendekiawan bernama Hassan Al-Basri. Oleh kerana kealiman dan kebijaksanaannya, beliau sering diminta pendapat oleh orang ramai untuk menyelesaikan masalah. [2]

Pada suatu hari, seorang lelaki dalam keadaan bersedih datang berjumpa Hassan Al-Basri lalu menceritakan masalahnya, "Cuaca terlalu panas. Hujan tidak turun. Tanaman saya banyak yang mati.” Lalu Hassan Al-Basri memintanya supaya memperbanyakkan istighfar kepada Allah. Lelaki itu pun beredar.

Selang beberapa hari, datang pula lelaki lain bertemu Hassan Al-Basri, "Saya menderita kemiskinan. Apa yang perlu saya lakukan?" Mendengarkan rintihan itu, Hassan Al-Basri memintanya supaya memperbanyakkan istighfar kepada Allah. Maka, lelaki itu pun pulang ke rumahnya.

Kemudian datang pula seorang lelaki lain mengadu masalahnya, "Tuan, isteri saya mandul dan tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya". Hassan Al-Basri bersimpati dengan lelaki itu lalu berkata, "Banyakkanlah istighfar, moga-moga masalah kamu akan selesai." Lelaki itu pun kembali ke rumahnya.

Para sahabat yang sering bersama Hassan Al-Basri berasa hairan dengan nasihat yang diberikan oleh beliau. Setiap kali orang datang mengadu masalah, Hassan Al-Basri hanya memberikan jawapan yang sama iaitu meminta mereka memperbanyakkan amalan istighfar memohon ampun kepada Allah.

Bagi mendapat kepastian, mereka bertanyakan hal itu kepada Hassan Al-Basri, "Kenapa tuan memberikan nasihat yang sama saja kepada mereka sedangkan masalah mereka berbeza-beza."  Beliau menjelaskan, "Tidakkah tuan-tuan pernah mendengar firman Allah di dalam al-Quran : 

Maka aku (Nabi Nuh AS) berkata kepada mereka (kaumnya) : ‘Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun. Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan pula untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya pada kebesaran Allah?’."
(Surah Nuh: ayat 10-13).



[1] Musnad Ahmad bin Hanbal
[2]Lihat Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98

No comments:

Post a Comment